Page 96 - LAPORAN TAHUNAN KKM 2019
P. 96

Fasiliti KKM menyediakan pelbagai pilihan kaedah perancang keluarga bagi memenuhi
            keperluan setiap klien wanita mengikut kesesuaian. Jumlah bilangan penerima baru
            berdaftar perancang keluarga di Klinik Kesihatan KKM telah meningkat dari 120,698
            (2018) kepada  126,086 (2019) orang.  Bilangan penerima lanjutan telah meningkat
            daripada 343,811 pada 2018 kepada 354,987 pada 2019. Kaedah perancang keluarga
            yang paling banyak digunakan pada tahun 2019 adalah pil perancang (45.4 peratus),
            suntikan progestogen-only (47.1 peratus) kondom lelaki (7.5 peratus) dan alat dalam
            rahim (4.4 peratus).

            Bagi  tahun  2019,  salah  satu  aktiviti  utama  ialah  pelaksanaan  pendekatan  baru
            penjagaan  pra-kehamilan  di  peringkat penjagaan  kesihatan  primer.  Ia bermula
            pada Julai 2019 secara rasmi selepas beberapa sesi taklimat diadakan di peringkat
            kebangsaan, negeri dan daerah. Pendekatan ini memberi penekanan kepada intervensi
            masalah perubatan yang berpotensi menyebabkan komplikasi kepada kehamilan dan
            sebaliknya. Selain itu, ia juga memberi penekanan penjagaan pra-kehamilan dalam
            pengendalian masalah perubatan dan kaunseling perancang keluarga. Penjagaan pra-
            kehamilan  bertujuan  untuk  memastikan  status  kesihatan  wanita  yang  mempunyai
            masalah kesihatan berada pada tahap optima sebelum hamil.


            PERKHIDMATAN KESIHATAN KANAK-KANAK


            Pada  tahun  2019,  sebanyak  75.7  peratus  populasi  kanak-kanak  bawah  1  tahun,
            47.4 peratus populasi kanak-kanak 1 hingga 4 tahun dan 24.8 peratus kanak-kanak
            prasekolah (5 hingga 6 tahun) telah menerima Perkhidmatan Kesihatan Kanak-kanak
            di klinik kesihatan.

            KADAR KEMATIAN NEONATAL, BAYI DAN KANAK-KANAK BAWAH 5 TAHUN

            Tren  kadar  kematian  neonatal,  bayi  dan  kanak-kanak  bawah  5  tahun  (U5MR)  di
            Malaysia telah mendatar daripada tahun 2000 hingga 2018 (Rajah 4.6). Kadar kematian
            kanak-kanak bawah 5 tahun pada 2018 menunjukkan sedikit peningkatan berbanding
            tahun 2017. Antara faktor penyebab adalah peningkatan bilangan kematian daripada
            4,295 kepada 4,427 serta penurunan kadar kelahiran hidup pada tahun 2018 (Jabatan
            Perangkaan Malaysia). Negeri Terengganu dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur
            mencatatkan U5MR terendah iaitu 7.3, manakala Sabah mencatatkan kadar tertinggi
            iaitu 12.7 per 1000 kelahiran hidup.


            Kematian neonatal (0 hingga 28 hari) merangkumi 2,231 kes (52.4 peratus) daripada
            keseluruhan kematian kanak-kanak bawah lima (5) tahun. Kematian bayi berumur
            28 hari hingga satu (1) tahun adalah 1,301 kes (29.4 peratus) dan kematian kanak-
            kanak satu (1) hingga empat (4) tahun adalah sebanyak 805 kes (18 peratus). Majoriti
            kematian dalam kalangan neonatal adalah kes yang tidak dapat dicegah dan antara
            penyebab  utama  adalah  kecacatan  kongenital  serta  kondisi  sewaktu  perinatal.
            Kematian yang boleh dicegah seperti kecederaan dan jangkitan, kebanyakannya adalah
            dalam kalangan kanak-kanak 28 hari hingga empat (4) tahun. Halatuju program bagi
            mencapai sasaran SDG 2030 memfokus kepada mengurangkan kematian disebabkan
            kecederaan dan jangkitan.




        LAPORAN TAHUNAN
    86  KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA 2019
   91   92   93   94   95   96   97   98   99   100   101