Page 92 - LAPORAN TAHUNAN KKM 2019
P. 92
PROGRAM SARINGAN PENYAKIT TB
Pada tahun 2019, sejumlah 177,121 kontak kepada Indeks Kes Tibi telah diperiksa
semasa lawatan pertama dan sejumlah 532 Kes Baru Tibi telah didiagnosis dan
dirawat.
ANALISA HASIL RAWATAN TB
Kadar Sukses Rawatan Tibi merupakan indikator penting dalam KPI Program Kawalan
Tibi Kebangsaan. Pada tahun 2019, Kadar Sukses Rawatan Tibi bagi warganegara
adalah 87 peratus (sasaran 90 peratus) dan bukan warganegara adalah 77 peratus
(sasaran 75 peratus).
SEKTOR PENYAKIT PENCEGAHAN VAKSIN DAN PENYAKIT BAWAAN
MAKANAN DAN AIR
POLIOMYELITIS
Pada tahun 2019, Malaysia dikejutkan dengan kejadian wabak vaccine-derived
poliovirus type 1 (VDPV1) selepas tiga kes disahkan berlaku di Sabah oleh WHO Polio
Regional Reference Laboratory di Australia. Lima (5) sampel survelan persekitaran
untuk poliovirus turut dikesan vaccine-derived poliovirus type 1 dan type2 (VDPV2).
Kesemua isolat virus yang dikesan di Sabah ini mempunyai perkaitan genetik
dengan virus polio yang dikesan di Filipina, yang turut mengalami wabak polio sejak
September 2019. Susulan wabak polio diisytiharkan berlaku di Sabah, survelan Acute
Flaccid Paralysis (AFP) di Malaysia telah diperkukuhkan dengan sasaran kadar non-
polio AFP ditingkatkan kepada 2 kes per 100,000 penduduk berumur bawah 15
tahun bagi seluruh Malaysia dan semua negeri, kecuali bagi Sabah, di mana sasaran
ditingkatkan kepada tiga (3) kes per 100,000 penduduk berumur bawah 15 tahun.
Survelan persekitaran untuk pengesanan virus polio juga diperluaskan ke semua
daerah di Sabah dan semua negeri di Malaysia. Sebagai salah satu langkah kawalan
dan pencegahan wabak polio di Sabah, aktiviti imunisasi tambahan dilaksanakan
bermula 27 Disember 2019 melalui Kempen Imunisasi Polio Sabah (KIPS), dengan
menyasarkan pemberian dua dos vaksin oral polio bivalent (bOPV) dan monovalent
type 2 (mOPV2) kepada semua kanak-kanak berusia bawah 13 tahun di seluruh Sabah,
tidak mengira status kewarganegaraan.
MEASLES
Pada tahun 2019, telah berlaku wabak Measles dalam kalangan Orang Asli suku Bateq
di Kuala Koh, Gua Musang, Kelantan, yang melibatkan 110 kes disahkan Measles
dengan 11 kes kematian di Kelantan. Wabak tersebut turut melibatkan 44 kes disahkan
measles dengan satu kematian di Terengganu, manakala di Pahang pula, sebanyak 4
kes disahkan measles telah dikesan dalam kalangan Orang Asli. Walau bagaimanapun,
secara keseluruhan, sebanyak 1,060 kes measles dilaporkan dengan kadar insiden
32.3 per 1 juta penduduk, penurunan berbanding 1,958 kes (kadar insiden 59.5 per
1 juta penduduk) pada tahun 2018. Sebanyak 13 kematian measles dilaporkan pada
tahun 2019 berbanding 6 kematian pada tahun 2018.
LAPORAN TAHUNAN
82 KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA 2019