Page 101 - LAPORAN TAHUNAN KKM 2019
P. 101
KAJI SELIDIK MASALAH KETIDAKUPAYAAN MELALUI NATIONAL HEALTH AND
MORBIDITY SURVEY
WHO Global Disability Action Plan 2014-2021 menekankan tentang pengukuhan
pengumpulan data yang relevan berkenaan ketidakupayaan. Pada 2015, National
Health and Morbidity Survey (NHMS) menunjukkan prevalen individu dewasa di
Malaysia dengan ketidakupayaan adalah 11.8 peratus (95 peratus CI: 11.15, 12.53).
Prevalen individu dengan ketidakupayaan mendapat penyakit tidak berjangkit adalah
dua kali ganda berbanding populasi umum Malaysia. NHMS 2019 bagi Model Disability
mengguna pakai soalan kaji selidik daripada WHO: Washington Group on Disability
(WG). Data awal menunjukkan prevalen ketidakupayaan bagi populasi di Malaysia
adalah sebanyak 11.2 peratus (mengambil kira semua peringkat umur).
PERKHIDMATAN KESIHATAN WARGA EMAS
Malaysia dijangka mencapai status ‘negara tua’ (aged nation) menjelang tahun
2030 di mana populasi berumur 60 tahun ke atas melebihi 15 peratus daripada
jumlah populasi negara. Fenomena ini akan memberi cabaran dalam penyediaan
perkhidmatan kesihatan warga emas akibat peningkatan beban penyakit tidak
berjangkit dan peningkatan ketidakupayaan dan peningkatan perbelanjaan kesihatan
negara.
PENUAAN SIHAT: PERLUASAN SKOP PERANAN JURURAWAT MASYARAKAT DI KLINIK
DESA
Sejajar dengan saranan Policy Framework for Healthy Ageing (World Report on Ageing
and Health, World Health Organization, 2015) dan Global Strategy & Action Plan on
Ageing and Health 2016-2020, BPKK telah memperkenalkan inisiatif baru dengan
perluasan skop peranan Jururawat Masyarakat di klinik desa. Tumpuan diberi kepada
pengekalan keupayaan fungsi warga emas dengan mencegah penyakit kronik melalui
saringan dan pengesanan awal yang dilakukan oleh Jururawat Masyarakat di klinik
desa.
Penurunan kadar kelahiran dan penghijrahan penduduk dari kawasan luar bandar
ke kawasan bandar menyebabkan kedatangan klien semakin berkurangan di klinik
desa. Manakala bilangan warga emas di kawasan luar bandar pula meningkat
akibat peningkatan jangka hayat. Bagi mengoptimakan fungsi, klinik desa dengan
kedatangan klien kurang daripada 15 orang sehari dan dikendali oleh dua atau lebih
Jururawat Masyarakat, dipilih untuk melaksanakan skop tambahan dan menyediakan
perkhidmatan penjagaan kesihatan warga emas. Pada tahun 2019, inisiatif ini telah
dimulakan di 54 buah klinik desa di Pahang dan di 72 buah klinik desa di Perak dan
akan diikuti dengan perluasan ke negeri lain pada tahun 2020 secara berfasa.
LAPORAN TAHUNAN
KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA 2019 91