Page 71 - LAPORAN TAHUNAN KKM 2019
P. 71
Kesejahteraan Rakyat dengan Petunjuk Prestasi Utama (PPU) yang mengukur
kekerapan lawatan Perkhidmatan Kesihatan ke perkampungan Orang Asli pedalaman.
PPU yang ditetapkan adalah lawatan dilaksanakan setiap empat (4) minggu berbanding
dengan sasaran ditetapkan sebanyak 80 peratus. Pencapaian keseluruhan PPU bagi
tahun 2019 adalah sebanyak 66.2 peratus. Antara punca kegagalan pencapaian PPU
adalah isu logistik seperti keadaan jalan yang rosak, cuaca yang tidak mengizinkan
dan kerosakan kenderaan Pasukan Bergerak Orang Asli (PBOA). Beberapa projek khas
bagi meningkatkan kualiti penyampaian kesihatan kepada masyarakat Orang Asli juga
akan diberi keutamaan dalam perancangan Rolling Plan Rancangan Malaysia Ke-12.
Bagi tahun 2019, penyampaian perkhidmatan kesihatan melalui Pasukan Doktor
Udara (PDU) yang berpangkalan di Pejabat Kesihatan Daerah Kinta telah dilaksanakan
bagi memberi perkhidmatan kesihatan kepada 15 (88 peratus) daripada 17 tapak
pendaratan di kawasan pedalaman yang sukar dicapai sama ada melalui jalan darat
atau jalan air. Pencapaian lawatan PDU bagi tahun 2019 adalah sebanyak 41.6 peratus
daripada 173 penerbangan yang dirancang. Keadaaan cuaca yang tidak mengizinkan
dan masalah teknikal oleh syarikat helikopter terlibat adalah antara punca utama
ketidakcapaian sasaran 80 peratus kekerapan lawatan PDU setiap empat minggu ke
tapak pendaratan terbabit.
Pada tahun 2019, sejumlah 641,880 kunjungan melibatkan masyarakat Orang Asli
dilaporkan bagi mendapatkan pelbagai perkhidmatan kesihatan KKM yang ditawarkan
di bawah Penjagaan Primer kesihatan (Jadual 4.1).
Mesyuarat Teknikal Perkhidmatan Kesihatan Orang Asli bersama Pegawai Kesihatan
Daerah dari seluruh Malaysia telah diadakan pada 11 November 2019. Seramai 48
orang pegawai dari Pejabat Kesihatan Daerah, Jabatan Kesihatan Negeri, Pegawai
Pemakanan Daerah dan Negeri dan Pegawai Teknikal dari Program Kesihatan Awam
telah hadir bagi membincangkan dan mencari jalan penyelesaian isu-isu dalam
meningkatkan taraf kesihatan masyarakat Orang Asli.
Jadual 4.1
Jumlah Lawatan Kesihatan Menggunakan Perkhidmatan Kesihatan Primer KKM
Melibatkan Orang Asli, 2019
Perkhidmatan Kesihatan Jumlah Lawatan
Pesakit Luar 198,136
Antenatal 102,960
Postnatal 6,332
Perancang Keluarga 94,512
Kesihatan Kanak-Kanak 129,314
Lawatan Rumah 110,626
Jumlah Keseluruhan 641,880
Sumber: Bahagian Perkembangan Kesihatan Awam,KKM
LAPORAN TAHUNAN
KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA 2019 61