Page 108 - LAPORAN TAHUNAN KKM 2019
P. 108
BAHAGIAN PEMAKANAN
Bahagian Pemakanan berfungsi untuk merancang, membangun, melaksana,
memantau dan menilai program-program pemakanan. Bagi melaksanakan fungsi-
fungsi ini, terdapat tiga cawangan dibawah Bahagian Pemakanan iaitu Cawangan
Perancangan dan Dasar Pemakanan, Cawangan Pemakanan Keluarga dan Cawangan
Komuniti & Inter Agensi.
CAWANGAN PERANCANGAN DAN DASAR PEMAKANAN
SEMAKAN DASAR PEMAKANAN KEBANGSAAN MALAYSIA (DPKM)
Dasar Pemakanan Kebangsaan Malaysia telah dibentuk
dan diluluskan oleh kabinet pada tahun 2003. Selepas
15 tahun, dasar ini perlu disemak semula dan dikemas
kini selari dengan perkembangan isu-isu semasa
berkaitan pemakanan, perubahan corak pemakanan
dan peningkatan beban penyakit terutamanya penyakit
tidak berjangkit berkaitan pemakanan dalam kalangan
rakyat Malaysia. Semakan dasar ini turut mengambil
kira hala tuju negara dan komitmen di peringkat global
dan kebangsaan seperti Sustainable Development Goals
(SDGs) 2015-2030, Global Nutrition Targets (GNTs) 2025
dan Rancangan Malaysia ke-12. Semakan dasar ini telah dimulakan pada tahun 2018
oleh Kumpulan Kerja Teknikal Dasar Pemakanan yang terdiri daripada wakil-wakil
kementerian, agensi, persatuan dan universiti. Dasar ini dijangka akan dilancarkan
pada September 2020. Seterusnya, pelaksanaan Dasar ini diterjemahkan melalui
Pelan Tindakan Pemakanan Kebangsaan Malaysia (NPANM) III, 2016-2025. Diharapkan
dasar ini akan menjadi platform kepada kerjasama dan sinergi antara semua sektor
kerajaan, swasta, pertubuhan serta agensi ke arah mempertingkatkan taraf kesihatan
masyarakat melalui amalan pemakanan sihat.
SEMAKAN MALAYSIAN DIETARY GUIDELINES 2010 (MDG)
Garis Panduan Pemakanan Malaysia merupakan rujukan utama pemakanan yang
diguna pakai oleh profesioanal kesihatan untuk mendidik masyarakat Malaysia
mengenai amalan pemakanan sihat. Selari dengan sasaran yang telah ditetapkan
dalam Pelan Tindakan Pemakanan Kebangsaan Malaysia (NPANM) III, dokumen ini
perlu disemak setiap 10 tahun bagi memastikan ianya terus relevan dengan situasi
pemakanan semasa penduduk serta mengambil kira penemuan saintifik pemakanan
terkini. Pada 26 hingga 28 Ogos 2019 yang lalu, Mesyuarat Semakan Semula Garis
Panduan Pemakanan Malaysia 2010 Siri 1 telah diadakan bagi menghasilkan draf
pertama semakan tersebut yang melibatkan pakar-pakar pemakanan di seluruh
negara.
LAPORAN TAHUNAN
98 KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA 2019