Page 237 - LAPORAN TAHUNAN KKM 2019
P. 237
Sebagai Perkhidmatan Kejuruteraan dan Teknikal kepada Program Perubatan dan
Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia, Bahagian Perkhidmatan Kejuruteraan
akan terus merancang, melaksanakan, memantau dan menyelaras program
pencegahan Kesihatan menerusi prinsip dan kaedah kejuruteraan Kesihatan awam.
Bahagian ini komited untuk memberikan sokongan kejuruteraan bagi memastikan
fungsi yang berkesan dan tepat bagi bangunan, peralatan dan sistem kejuruteraan,
memastikan kebolehpercayaan dan kecekapan pemasangan sistem kejuruteraan dan
juga memastikan semua kemudahan penjagaan Kesihatan diselenggara dengan baik.
BAHAGIAN KAWALSELIA RADIASI PERUBATAN (BKRP)
Bahagian Kawalselia Radiasi Perubatan (BKRP) dipertanggungjawabkan untuk
melaksanakan kuasa-kuasa yang diperuntukkan kepada Ketua Pengarah Kesihatan
(KPK) bagi mengawal aktiviti penggunaan sinaran mengion dalam perubatan di
bawah Akta Perlesenan Tenaga Atom (Akta 304). Peranan utama BKRP melibatkan
pelbagai aktiviti kawal selia termasuk pelesenan, pemantauan, penguatkuasaan dan
pembangunan kod dan standard. BKRP turut melaksanakan kerja-kerja sekreteriat
bagi Jawatankuasa Penasihat Radiologi yang dipengerusikan oleh KPK. Di samping
itu, BKRP juga memainkan peranan dalam menyediakan khidmat nasihat teknikal
dalam fizik perubatan terutama kepada hospital dan klinik di bawah KKM. Beberapa
program keselamatan sinaran di bawah pengendalian BKRP adalah Program
Perlindungan Sinaran (RPP), Program Jaminan Kualiti (QAP) dan Pengurusan Audit
Kualiti Radiasi dalam perkhidmatan radiologi, radioterapi dan perubatan nuklear di
peringkat kebangsaan. BKRP juga terlibat dalam menanggani isu-isu kesihatan awam
akibat daripada penggunaan sinaran tak mengion dalam sistem telekomunikasi, kabel
bervoltan tinggi dan perkakasan di rumah.
PERLESENAN DI BAWAH AKTA PERLESENAN TENAGA ATOM (AKTA 304)
Sebanyak 1,658 lesen telah dikeluarkan kepada institusi perubatan swasta pada tahun
2019. Ini termasuk 311 lesen baru dan 1,347 lesen membaharui. Secara keseluruhan,
terdapat 4,594 institusi perubatan kerajaan dan swasta yang terdiri daripada 1,030
buah hospital/klinik kerajaan dan 3,564 buah institusi perubatan swasta seperti yang
ditunjukkan dalam Rajah 6.5.
Sementara itu, sebanyak 8,513 radas penyinaran berdaftar atau berlesen di kedua-dua
sektor kerajaan dan swasta seperti mana dalam Rajah 6.6. Selain radas penyinaran,
sebanyak 734 punca bahan radioaktif terdiri daripada 576 punca terkedap dan 158
punca tak terkedap didaftarkan atau dilesenkan di institusi perubatan kerajaan dan
swasta seperti yang ditunjukkan dalam Jadual 6.17.
LAPORAN TAHUNAN
KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA 2019 227