Reset Setting Change contrast to brightChange contrast to originalChange contrast to darkChange font size to lower sizeChange font size to original sizeChange font size to large size
    T
    T
    T
    T
    T
    T

bm en

Print
Tajuk Operasi Penguatkuasaan Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 Siri 1/2011 "Ops Basuh" : Operasi Larangan Penjualan Rokok Di Bawah Harga Minimum Rokok Dan Jualan Rokok Tanpa Amaran Kesihatan Bergambar
Penerangan

KENYATAAN AKHBAR

KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA

 

 

Operasi Penguatkuasaan Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 Siri 1/2011 ’Ops Basuh’ : Operasi Larangan Penjualan Rokok Di Bawah Harga Minimum Rokok Dan Jualan Rokok Tanpa Amaran Kesihatan Bergambar

 

 

          Pada 5 Januari 2011, Kementerian Kesihatan Malaysia telah melancarkan operasi penguatkuasaan Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004 peringkat kebangsaan bagi siri pertama tahun 2011. Operasi ini bertema ’Ops Basuh’ dan memberi fokus kepada larangan penjualan rokok di bawah harga minimum rokok dan larangan penjualan rokok tanpa amaran kesihatan bergambar. Operasi ini ditujukan kepada peniaga yang menjual rokok di bawah Harga Minimum Rokok yang ditetapkan oleh Kerajaan dan rokok tidak sah.

 

          Daripada 2,830 buah premis yang telah diperiksa, sejumlah 334 notis kesalahan telah dikeluarkan ke atas pelbagai kesalahan di bawah PPKHT 2004. Daripada jumlah tersebut, Seramai 140 orang peniaga telah dikenakan kompaun minimum RM 500.00 setiap orang di atas kesalahan menjual rokok dengan harga di bawah daripada Harga Minimum Rokok yang membawa kepada jumlah nilai kompaun sebanyak RM 70,000.00. Disamping itu, sebanyak 2185 paket rokok dengan jumlah nilai pasaran sebanyak RM 7,842.60 telah juga dirampas di bawah kesalahan ini.

 

Selain daripada itu, seramai 22 orang peniaga juga telah diberi notis kesalahan kerana menjual rokok yang tiada cetakan Amaran Kesihatan Bergambar. Kesemua rokok yang tiada cetakan Amaran Kesihatan Bergambar tersebut didapati merupakan rokok tidak sah daripada jenama Gudang Garam, Vess, D&J, Luffman, Tex, Astro, June, Djarum, Canyon, Virginia Star, Pentium, League, Winmild, Halftime 5 dan Premium. Peniaga-peniaga yang menjual rokok tidak sah tersebut akan didakwa di mahkamah dan sekiranya didapati bersalah, boleh didenda tidak melebihi sepuluh ribu ringgit atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi dua tahun. Sebanyak 842 paket rokok tidak sah dengan nilai pasaran sebanyak RM 3,602.80 telah juga dirampas di bawah kealahan ini.

 

Selain daripada kesalahan yang disasarkan seperti di atas, sebanyak 171 kompaun juga telah dikeluarkan terhadap mereka yang melakukan pelbagai kesalahan lain di bawah PPKHT. Pecahan hasil operasi adalah seperti di Lampiran 1.

 

          Kementerian Kesihatan Malaysia akan meneruskan operasi penguatkuasaan PPKHT peringkat kebangsaan secara bertema ini dari masa ke semasa bagi membendung penjualan rokok tidak sah dan juga bagi melindungi kesihatan orang awam serta meningkatkan kesedaran orang awam dan para peniaga tentang peruntukan–peruntukan undang-undang di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004.

 

          Orang ramai yang ingin membuat laporan tentang kesalahan penjualan rokok atau kesalahan merokok boleh menghubungi talian Infoline KKM 03-88834400 atau mana-mana Pejabat Kesihatan Daerah yang berhampiran.

 

 

Sekian, terima kasih

 

(TAN SRI DATO’ SERI DR. HAJI MOHD ISMAIL MERICAN)

KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA

 Januari 2011

 

 

 

 

 

Lampiran 1

 

 

HASIL OPERASI PENGUATKUASAAN PPKHT 2004 ’OPS BASUH’ : OPERASI LARANGAN PENJUALAN ROKOK DI BAWAH HARGA MINIMUM ROKOK DAN JUALAN ROKOK TANPA AMARAN KESIHATAN BERGAMBAR

 

 

Jumlah Tempat / Premis Yang Diperiksa

2,830

Jumlah Notis Kesalahan Yang Dikeluarkan

334

Jumlah Kompaun Yang Dikeluarkan Di Bawah Peraturan 8(1) – Menjual hasil tembakau kepada Orang Belum Dewasa

1

Jumlah Kompaun Yang Dikeluarkan Di Bawah Peraturan 9(1) – Menjual Hasil Tembakau secara sebatang-sebatang atau dalam paket yang terbuka

32

Jumlah Kompaun Yang Dikeluarkan Di Bawah Peraturan 11(1) – Merokok di tempat yang dilarang merokok

28

Jumlah Kompaun Yang Dikeluarkan Di Bawah Peraturan 13(1) – Orang Belum Dewasa yang merokok, membeli atau memiliki rokok

10

Jumlah Kompaun Yang Dikeluarkan Di Bawah Peraturan 14(1) – Tidak mempamerkan tanda larangan jualan Hasil Tembakau kepada Orang Belum Dewasa

40

Jumlah Kompaun Yang Dikeluarkan Di Bawah Peraturan 8C(2) – Tidak mempamerkan Notis Harga Minimum Rokok

35

Jumlah Kompaun Yang Dikeluarkan Di Bawah Peraturan 12(1)(a) – Gagal mempamerkan tanda larangan merokok di premis larangan merokok

25

Jumlah Kompaun Yang Dikeluarkan Di Bawah Peraturan 8D – Menjual rokok dengan harga di bawah daripada Harga Minimum Rokok

140

Jumlah Notis Kesalahan Yang Dikeluarkan Di Bawah Peraturan 15(1) – Menjual paket rokok tanpa cetakan Amaran Kesihatan Bergambar

22

Jumlah Kompaun Yang Dikeluarkan Di Bawah Peraturan 15C – Menghalang Amaran Kesihatan Bergambar daripada penglihatan

1

 

Ditambah pada 23-01-2011 04:00:00

Lampiran-lampiran