Tajuk | Status Terkini Siasatan Kejadian Wabak Meliodosis Dan Leptospirosis Di Kalangan Petugas Mencari Dan Menyelamat Kejadian Lemas Di Pusat Rekreasi Lubuk Yu, Maran, Pahang | ||
---|---|---|---|
Penerangan |
KENYATAAN AKHBAR KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA
STATUS TERKINI SIASATAN KEJADIAN WABAK MELIODOSIS DAN LEPTOSPIROSIS DI KALANGAN PETUGAS MENCARI DAN MENYELAMAT KEJADIAN LEMAS DI PUSAT REKREASI LUBUK YU, MARAN, PAHANG
Kami ingin merujuk kepada kenyataan akhbar YB Menteri Kesihatan berkaitan dengan wabak penyakit Meliodosis dan Leptospirosis di kalangan penyelamat mangsa lemas di Pusat Rekreasi Lubuk Yu di daerah Maran, Pahang pada 26 Jun 2010.
Sehingga hari ini, 12 Julai 2010, tiada kes baru dilaporkan. Seramai 104 anggota penyelamat yang terdiri daripada penyelamat awam dan sukarelawan telah dikenalpasti dan jumlah bersimptom masih kekal 13 orang. Seperti yang dimaklumkan, daripada 13 kes, enam (6) berlaku kematian dan tujuh (7) sedang dirawat, termasuk satu (1) yang dirawat di rumah. Ujian makmal yang diterima hari ini memaklumkan bahawa; a) Empat (4) kes kematian yang berlaku di hospital, tiga (3) disahkan disebabkan oleh meliodosis, sementara seorang lagi mempunyai jangkitan kedua-dua meliodosis dan leptospirosis. Dua (2) kematian yang lain berlaku di rumah dan tiada ujian dapat dijalankan. b) Enam (6) kes yang sedang dirawat di hospital, dua (2) didapati menghidap jangkitan meliodosis dan leptospirosis, dan seorang hanya menghidap meliodosis. Keputusan ujian untuk dua (2) kes yang sedang dirawat di Hospital Jengka dan sebuah hospital swasta di Kuantan masih belum diketahui.
Kementerian ingin menasihatkan orang awam supaya tidak panik kerana jangkitan ini tidak boleh tersebar di dalam komuniti dari seorang ke seorang.
Sekian dan terima kasih.
TAN SRI DATO’ SERI DR. HJ. MOHD. ISMAIL BIN MERICAN Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia
Tarikh: 12 Julai 2010 |
||
Ditambah pada | 12-07-2010 04:00:00 | ||