Tajuk | Pencapaian Tindakan Penguatkuasaan Dan Perundangan Di Bawah Undang-Undang Kesihatan Awam Bagi Bulan Jun 2012 |
---|---|
Penerangan | KENYATAAN AKHBAR
KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA
PENCAPAIAN TINDAKAN PENGUATKUASAAN DAN PERUNDANGAN DI BAWAH UNDANG-UNDANG KESIHATAN AWAM BAGI BULAN JUN 2012 ________________________________________________________
Kementerian Kesihatan Malaysia sentiasa berusaha meningkatkan mutu perkhidmatan untuk kesejahteraan penduduk Malaysia, dan ini termasuklah mengambil tindakan penguatkuasaan dan perundangan di bawah undang-undang kesihatan demi kepentingan kesihatan awam.
Bagi bulan Jun 2012, berikut dimaklumkan hasil dan tindakan penguatkuasaan undang-undang kesihatan awam.
1. Melalui tindakan penguatkuasaan Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit (APSPP) 1975 bagi tujuan pencegahan dan kawalan wabak denggi, sejumlah 1,475 kompaun bernilai RM 704,150.00 telah dikeluarkan dengan purata RM 477.39 tiap kompaun. Sejumlah 190 kes telah didaftar untuk tindakan mahkamah dan dalam masa yang sama sebanyak 45 kes telah disabitkan kesalahan dengan sejumlah RM 15,150.00 denda dikenakan, iaitu purata RM 336.67 tiap denda. Manakala bagi tempoh Januari sehingga Jun tahun ini, jumlah keseluruhan kompaun yang dikeluarkan adalah sebanyak 10,178 dengan nilai RM 4,507,715.00. Sejumlah 869 kes telah didaftarkan untuk tindakan mahkamah dan dalam masa yang sama 420 kes telah disabitkan kesalahan dimana sejumlah RM 135,480.00 denda telah dikenakan.
2. Melalui penguatkuasaan Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004, daripada 6,505 lawatan pemeriksaan sejumlah 3,065 notis kesalahan dikeluarkan dan dalam masa yang sama 1,391 kesalahan telah dikompaun sebanyak RM 287,098.00 dengan nilai purata RM206.40 tiap kompaun. Bagi tempoh Januari sehingga Jun tahun ini, sejumlah 17,752 notis kesalahan dikeluarkan dan dalam masa yang sama sebanyak 8,982 kesalahan telah dikompaun dengan nilai RM 1,940,498.00.
Adalah dimaklumkan, tindakan penguatkuasaan merupakan pilihan terakhir yang diambil oleh Kementerian Kesihatan Malaysia. Orang ramai serta semua pihak adalah diminta untuk menjalankan tugas dan tanggungjawab masing-masing agar keberkesanan perlaksanaan aktiviti kesihatan mencapai tahap optimum.
Sekian dan terima kasih.
DATO’ SRI DR. HASAN BIN ABDUL RAHMAN Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia 25 Julai 2012 |
Ditambah pada | 30-07-2012 04:00:00 |