Tajuk Doktor Tak Cekap
Penerangan

JATA.gif 

MENTERI KESIHATAN MALAYSIA

KENYATAAN AKHBAR

‘DOKTOR TAK CEKAP’

 

 

Saya merujuk kepada laporan berita bertajuk – ‘Doktor tak cekap’.

 

Kementerian Kesihatan menyedari masalah yang dihadapi oleh sebahagian Pegawai Perubatan Siswazah (PPS) yang sedang menjalani latihan di sejumlah 38 buah  hospital Kementerian Kesihatan dan 3 buah Hospital Universiti pada masa kini, dan sentiasa berusaha untuk mempastikan bahawa PPS berkenaan dapat dibimbing dan dibantu untuk membolehkan mereka memperolehi pengetahuan dan kemahiran yang mencukupi bagi membolehkan mereka menjadi pengamal perubatan yang kompeten dan selamat.

 

Pada masa kini terdapat sejumlah 29 buah sekolah perubatan di dalam negara kita, dimana sejumlah 11 dikendalikan oleh IPTA dan selebihnya 18 buah dikendalikan oleh IPTS, dan terdapat graduan yang kembali dari pelbagai negara luar saperti United Kingdom, Amerika Syraikat, Australia, Indonesia, Timur Tengah, Russia, India dan lain-lain negara.

 

Graduan yang berasal dari pelbagai persekitaran pembelajaran dengan budaya dan sistem kurikulum pendidikan yang berbeza sudah pasti mempunyai pengetahuan dan pengalaman yang berbeza khususnya dari segi pengalaman klinikal yang dimilki oleh mereka. Oleh kerana itulah kerajaan telah membuat keputusan sejak tahun 2008 untuk memanjangkan tempoh latihan PPS dari hanya satu tahun kepada 2 tahun dan menjalani latihan dalam 6 bidang utama, iaitu bidang perubatan dalaman, pediatrik, pembedahan am, ortopedik, obstetrik dan ginekologi, dan perubatan kecemasan atau anestesiologi, masing-masing selama 4 bulan. PPS diberikan pendedahan klinikal, diberi bimbingan dan tunjuk ajar mengenai prosedur klinikal yang tertentu, serta dinilai oleh pakar-pakar perubatan dan juga pegawai perubatan yang berpengalaman.

 

Dengan perpanjangan tempoh latihan PPS menjadi 2 tahun mereka lebih berpeluang mendapat pendedahan klinikal berbanding dengan tempoh latihan yang hanya satu tahun sebelum 2008. Jika mereka didapati tidak menunjukkan kemampuan dan kemahiran klinikal yang mencukupi di akhir sesuatu penempatan selama 4 bulan, penempatan mereka akan dipanjangkan selama tempoh 3 bulan lagi. 

 

Melatih PPS merupakan satu cabaran dan tanggungjawab yang perlu dilaksanakan bagi mempastikan bahawa graduan perubatan atau PPS yang berasal dari pelbagai latar belakang pendidikan ini dapat dibimbing dan akan mempunyai kemampuan klinikal yang mencukupi bagi menjadi pegawai perubatan yang kompeten dan selamat sebelum diberikan pendaftaran penuh sebagai pengamal perubatan.

 

Bagi PPS yang masih tidak menunjukkan kemampuan dan kemahiran klinikal yang mencukupi selepas dipanjangkan tempoh latihan, mereka akan dinilai oleh Lembaga Kelayakan Perubatan sebagaimana diperuntukkan di dalam Akta Perubatan 1971 dan akan ditamatkan dan tidak didaftar sebagai pengamal perubatan di negara ini.

 

Merujuk kepada pengiktirafan pelbagai ijazah perubatan di dalam dan luar negara, ianya dilakukan oleh sebuah jawatankuasa bersama iaitu Joint Technical Accreditation Committee (JTAC) for Medical Education yang dianggotai oleh wakil-wakil dari Kementerian Pengajian Tinggi, Kementerian Kesihatan, Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Jabatan Perkhidmatan Awam dan Majlis Perubatan Malaysia (MMC). Jawatankuasa ini menetapkan standard dan melakukan pemeriksaan dan pemantauan secara berkala terhadap kemudahan pembelajaran, pelaksanaan kurikulum dan proses pembelajaran oleh pelbagai universiti berkenaan bagi menentukan kelayakan untuk pengiktirafan.

 

Kerajaan sentiasa berusaha untuk mempastikan usaha pembangunan modal insan dalam bidang perubatan khususnya latihan pegawai perubatan dapat terus dipertingkatkan bagi memenuhi keperluan negara. Penglibatan pelbagai agensi kerajaan saperti Kementerian Pengajian Tinggi, Jabatan Perkhidmatan Awam, Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Kementerian Kesihatan dan Majlis Perubatan Malaysia (MMC) secara bersama-sama akan dapat menyumbang ke arah memantapkan lagi tahap kompetensi pengamal perubatan di negara ini.

 

 

 

KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

15 FEBRUARI 2011.

Ditambah pada 20-02-2011 04:00:00

Lampiran-lampiran