Tajuk | Pencapaian Tindakan Penguatkuasaan Dan Perundangan Di Bawah Undang-Undang Kesihatan Awam Bagi Bulan Julai 2012 |
---|---|
Penerangan |
KENYATAAN AKHBAR
KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA
PENCAPAIAN TINDAKAN PENGUATKUASAAN DAN PERUNDANGAN DI BAWAH UNDANG-UNDANG KESIHATAN AWAM BAGI BULAN JULAI 2012 ________________________________________________________
Kementerian Kesihatan Malaysia sentiasa berusaha meningkatkan mutu perkhidmatan untuk kesejahteraan penduduk Malaysia, dan ini termasuklah mengambil tindakan penguatkuasaan dan perundangan di bawah undang-undang kesihatan demi kepentingan kesihatan awam.
Bagi bulan Julai 2012, berikut dimaklumkan hasil dan tindakan penguatkuasaan undang-undang kesihatan awam.
1. Melalui tindakan penguatkuasaan Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit (APSPP) 1975 bagi tujuan pencegahan dan kawalan wabak denggi, sejumlah 1,401 kompaun bernilai RM 659,100.00 telah dikeluarkan dengan purata RM 470.44 tiap kompaun. Sejumlah 136 kes telah didaftar untuk tindakan mahkamah dan dalam masa yang sama sebanyak 54 kes telah disabitkan kesalahan dengan sejumlah RM 23,700.00 denda dikenakan, iaitu purata RM 438.88 tiap denda. Manakala bagi tempoh Januari sehingga Julai tahun ini, jumlah keseluruhan kompaun yang dikeluarkan adalah sebanyak 11,579 dengan nilai RM 5,166,815.00. Sejumlah 1,005 kes telah didaftarkan untuk tindakan mahkamah dan dalam masa yang sama 897 kes telah disabitkan kesalahan dimana sejumlah RM 159,180.00 denda telah dikenakan.
2. Melalui penguatkuasaan Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004, daripada 5,619 lawatan pemeriksaan sejumlah 1,805 notis kesalahan dikeluarkan dan dalam masa yang sama 1,454 kesalahan telah dikompaun sebanyak RM 322,090.00 dengan nilai purata RM221.52 tiap kompaun. Bagi tempoh Januari sehingga Julai tahun ini, sejumlah 19,557 notis kesalahan dikeluarkan dan dalam masa yang sama sebanyak 10,436 kesalahan telah dikompaun dengan nilai RM 2,262,588.00.
Adalah dimaklumkan, tindakan penguatkuasaan merupakan pilihan terakhir yang diambil oleh Kementerian Kesihatan Malaysia. Orang ramai serta semua pihak adalah diminta untuk menjalankan tugas dan tanggungjawab masing-masing agar keberkesanan perlaksanaan aktiviti kesihatan mencapai tahap optimum.
Sekian dan terima kasih.
DATO’ SRI DR. HASAN BIN ABDUL RAHMAN Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia 14 Ogos 2012 |
Ditambah pada | 15-08-2012 04:00:00 |