Tajuk Ikon Pek Hadapan (Front Of Pack Labelling)
Penerangan

 JATA.gif

 KENYATAAN AKHBAR

MENTERI KESIHATAN MALAYSIA

IKON PEK HADAPAN

(FRONT OF PACK LABELLING)

2 APRIL 2012

 

 

Pada 16 Disember 2011, satu sesi dialog di antara YB. Menteri Kesihatan Malaysia dan pihak industri bagi membincangkan peranan industri dalam menangani masalah obesiti dan penyakit tidak berjangkit telah diadakan. Hasil daripada perbincangan tersebut, pihak industri telah menyatakan tiga komitmen mereka dalam menangani masalah penyakit-penyakit tidak berjangkit di Malaysia. Komitmen yang pertama, meningkatkan penghasilan dan promosi produk-produk yang lebih sihat di Malaysia. Kedua, memainkan peranan aktif dalam perkongsian pintar multi-sektor. Ketiga, melibatkan lebih banyak industri dalam pencegahan dan kawalan penyakit tidak berjangkit. 

 

Hasil daripada komitmen tersebut, sebagai langkah pertama, pada hari ini, Kementerian Kesihatan Malaysia bersama-sama dengan pihak industri akan memperkenalkan Ikon Pek Hadapan Untuk Tenaga [Front of Pack (FOP) Labelling for Energy]. Pelaksanaan secara sukarela Ikon Pek Hadapan Untuk Tenaga oleh pihak industri merupakan panduan bagi merancang pengambilan tenaga harian individu.

 

Ikon ini dapat memberi gambaran yang cepat kepada rakyat mengenai kandungan kalori dalam sesuatu produk. Ianya juga memudahkan mereka merancang dan mengawal pengambilan tenaga harian mengikut keperluan.

 

Tenaga merupakan salah satu komponen utama dalam produk makanan dan minuman. Pengambilan tenaga yang melebihi keperluan harian individu merupakan salah satu faktor yang menyumbang kepada berat badan yang berlebihan. Kita sedia maklum bahawa berat badan yang berlebihan dan obesiti merupakan salah satu faktor risiko bagi pelbagai jenis penyakit kronik yang sedang menimpa rakyat Malaysia pada hari ini. Kajian Morbiditi dan Kesihatan Kebangsaan (National Health and Morbidity Survey, NHMS) mendapati prevalen berlebihan berat badan telah meningkat daripada 16.6% (NHMS 1996) dan 29.1% (NHMS 2006) kepada 29.4% pada tahun 2011. Prevalen obesiti juga meningkat dari 4.4% (NHMS 1996) dan 14.0% (NHMS 2006) kepada 15.1% pada tahun 2011. Peratus penghidap darah tinggi ialah 32.7% pada tahun 2011 berbanding 32.2% (2006) dan 20.7% (1996). Paling ketara ialah prevalen diabetes dalam kalangan dewasa berumur 30 tahun ke atas yang telah meningkat daripada 14.9% (2006) kepada 20.8% (2011).

 

Pada hari ini, kita dapati banyak produk-produk makanan dan minuman yang berbungkus di pasaran. Makanan dan minuman ini mudah diperolehi di mana-mana sahaja. Tambahan pula, kesibukan jadual harian sama ada bekerja atau belajar menjadikan produk-produk makanan dan minuman yang berbungkus ini menjadi salah satu pilihan makanan untuk memenuhi keperluan harian.

 

Kita memang tidak dapat menghalang rakyat daripada membeli makanan-makanan yang berbungkus ini. Oleh itu, penggunaan Ikon Pek Hadapan ini adalah merupakan salah satu cara untuk mendidik rakyat mengenai kandungan tenaga dalam sesuatu produk yang diambil. Penggunaan ikon ini dapat mendidik rakyat mengenai keperluan kalori harian dan bagaimana mengawal pengambilan makanan mengikut keperluan mereka.

 

Ikon Pek Hadapan Untuk Tenaga ini amat mudah untuk difahami oleh semua golongan rakyat. Tambahan pula, tenaga merupakan komponen yang paling penting dalam mengawal masalah berlebihan berat badan. Sebagai contoh, seorang individu dewasa memerlukan 2000 kalori (tenaga) dalam sehari. Sekiranya beliau mengambil 2500 kalori setiap hari, dalam satu minggu, beliau sudah mengumpulkan 3500 lebihan kalori. Setiap 3500 kalori akan mengakibatkan pertambahan 1/2kg berat badan. Namun begitu, tidak ramai rakyat kita memahami apakah itu kalori dan bagaimana mengawal kalori dalam pengambilan makanan harian.

 

Saya berharap agar dengan adanya Ikon Pek Hadapan Untuk Tenaga bagi produk makanan dan minuman ini, ianya dapat dijadikan panduan bagi membuat pemilihan yang bijak berdasarkan keperluan harian. Ingatlah, adalah lebih mudah untuk mengurangkan kalori dengan mengurangkan pengambilan makanan daripada membakar kalori setelah memakannya. Sebagai contoh, untuk membakar 500 kcal, seorang lelaki dewasa perlu berbasikal hampir satu jam atau berjalan selama dua jam setengah.

 

Selain itu, pihak industri juga telah memberikan komitmen untuk menghasilkan dan mempromosikan lebih banyak produk makanan dan minuman yang lebih sihat di pasaran seperti kurang gula, kurang garam atau sodium, kurang lemak serta tinggi serat untuk rakyat Malaysia.

 

Oleh itu, pesanan saya kepada semua rakyat Malaysia, sebelum membuat sebarang pembelian bagi makanan dan minuman yang berbungkus, “Baca dan Fahami Label, Buatlah Pilihan Yang Bijak Mengikut Keperluan Harian Anda”.

 

 

 

 

 

DATO’ SRI LIOW TIONG LAI

Menteri Kesihatan Malaysia

2 April 2012

Ditambah pada 01-04-2012 04:00:00

Lampiran-lampiran