Tajuk Operasi Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 Kementerian Kesihatan Malaysia - Operasi Larangan Merokok Di Tempat Kerja Dengan Sistem Hawa Dingin Berpusat
Penerangan

 

JATA.gif

KENYATAAN AKHBAR
KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA

 

Operasi Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004
Kementerian Kesihatan Malaysia – Operasi Larangan Merokok Di Tempat Kerja Dengan Sistem Hawa Dingin Berpusat

 

Asap rokok telah terbukti mengandungi lebih daripada 4000 jenis bahan kimia merbahaya dan termasuk 69 jenis bahan karsinogenik yang menyebabkan penyakit kanser. Pendedahan kepada asap rokok basi (secondhand smoke) turut memberikan kesan yang sama seperti merokok. Bagi tujuan melindungi kesihatan warga kerja daripada bahaya asap rokok basi, Kerajaan telah pun mewartakan semua tempat kerja dengan sistem hawa dingin berpusat sebagai Tempat Larangan Merokok di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau pada 21 Julai 2010.

Dengan perwartaan Peraturan ini, semua tempat kerja termasuk pejabat swasta yang mempunyai sistem hawa dingin berpusat adalah merupakan tempat dilarang merokok. Semenjak lebih setahun yang lepas, Kementerian Kesihatan telah pun melaksanakan peraturan larangan merokok di tempat kerja berhawa dingin berpusat ini dengan memberi kesedaran dan pendidikan kepada orang ramai dan sektor swasta terutamanya kepada para majikan pejabat dan syarikat swasta. 

Kementerian Kesihatan Malaysia amat prihatin terhadap kesihatan para pekerja, terutamanya para pekerja di sektor swasta yang berkemungkinan terpaksa bertahan dengan ancaman asap rokok basi di tempat kerja mereka. Justeru itu, Kementerian Kesihatan telah melancarkan satu operasi besar-besaran di seluruh Negara pada 25 Oktober 2011 yang berfokus terhadap penguatkuasaan peraturan larangan merokok di dalam pejabat swasta yang berhawa dingin berpusat bagi mengambil tindakan terhadap perokok serta majikan yang tidak mengendahkan peraturan dan melanggar peraturan larangan merokok. 

 

Sebanyak 570 buah pejabat swasta berhawa dingin berpusat yang termasuk bank dan institusi kewangan, syarikat berkaitan Kerajaan (GLC), syarikat-syarikat swasta, kompleks pejabat-pejabat, kilang dan hotel telah diperiksa di dalam operasi ini (Lampiran 1). Seramai 18 orang telah dikompaun kerana merokok di dalam suatu tempat kerja berhawa dingin berpusat manakala seramai 54 orang majikan telah diberi amaran bertulis di atas kesalahan gagal mempamerkan notis larangan merokok di premis mereka. Selain daripada itu, 2 orang majikan juga diberi amaran bertulis kerana gagal memastikan tiada orang merokok di dalam pejabat mereka.

Kementerian Kesihatan akan mempergiatkan lagi penguatkuasaan Peraturan ini dan memperluaskan penguatkuasaan larangan merokok di lain-lain tempat kerja berhawa dingin berpusat. Disamping itu, Kementerian Kesihatan juga akan mengambil tindakan kompaun terhadap majikan pejabat atau syarikat swasta yang gagal menunaikan tanggungjawab mereka di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau pada operasi di masa hadapan.

Kementerian kesihatan ingin mengingatkan para perokok supaya mematuhi peraturan larangan merokok dan para majikan untuk mempamerkan tanda larangan merokok di bahagian yang mudah dilihat serta memastikan tiada seorang pun merokok di dalam premis mereka. Kegagalan tuan punya premis di dalam mematuhi Peraturan ini boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi satu tahun.

Tabiat merokok terbukti merosakkan kesihatan perokok dan memudaratkan orang-orang yang berada di sekeliling. Kementerian Kesihatan ingin menasihati para perokok agar berhenti merokok dan mendapatkan perkhidmatan berhenti merokok di mana-mana klinik kesihatan atau hospital Kerajaan yang berdekatan.

 

Sekian, terima kasih

 

Dato’ Sri Dr Hasan Bin Abdul Rahman
Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia
     
 2  November 2011


Lampiran 1

OPERASI PERATURAN-PERATURAN
KAWALAN HASIL TEMBAKAU 2004 PADA 25 OKTOBER 2011
’OPS OFIS’ - OPERASI LARANGAN MEROKOK DI TEMPAT KERJA DENGAN SISTEM HAWA DINGIN BERPUSAT

 

1.

Jumlah Pejabat Swasta / Syarikat Swasta Yang Diperiksa

570

2.

Jumlah Kompaun Yang Dikeluarkan Di Bawah Peraturan 11(1)(u) – Larangan Merokok Di Tempat Kerja Dengan Sistem Hawa Dingin Berpusat

18

3.

Jumlah Amaran Bertulis Yang Dikeluarkan Di Bawah Peraturan 12(1)(a) – Tuan Punya Premis Gagal Mempamerkan Tanda Larangan Merokok Di Dalam Premis Larangan Merokok

54

4.

Jumlah Amaran Bertulis Yang Dikeluarkan Di Bawah Peraturan 12(1)(b) – Tuan Punya Premis Gagal Memastikan Tiada Orang Merokok Di Dalam Premis Larangan Merokok

2

5.

Pecahan Kategori Pejabat Swasta / Syarikat Swasta Yang Diperiksa :

 

a.  Bank dan Institusi Kewangan

189

b. Syarikat Swasta –

Pejabat Korporat, Syarikat Insurans, Telekomunikasi, Syarikat Pelaburan, Syarikat Kereta, Institusi Pengajian Swasta, Syarikat Penerbangan Dan Lain-Lain

135

c. Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) –

Telekom Malaysia Bhd, Tenaga Nasional Malaysia Bhd, POS Malaysia Bhd, KWSP, LHDN, Puas Berhad, Syabas Berhad, Syarikat Air Negeri, PERKESO Dan Lain-Lain

130

d.  Kompleks Pejabat-Pejabat Swasta dan Business Center

100

e.  Kilang

11

f.   Hotel

5

Ditambah pada 28-11-2011 04:00:00

Lampiran-lampiran