Tajuk Satu Malaysia Satu Harapan, Dermalah Organ Demi Kehidupan
Penerangan

JATA.gif 

 

KENYATAAN AKHBAR

TIMBALAN MENTERI KESIHATAN MALAYSIA

 

“SATU MALAYSIA SATU HARAPAN, DERMALAH ORGAN DEMI KEHIDUPAN”

5 Jun 2011 (bersamaan 3 Rejab 1432)

 

1. Kenyataan akhbar ini dikeluarkan bersempena dengan larian “Race Against Time: Run for Life” yang diadakan di Batu Feringgi Pulau Pinang pada 5 Jun 2011. Larian tersebut adalah anjuran Persatuan Transplan Malaysia dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia bersempena Mesyuarat Saintifik Persatuan Transplan Malaysia yang ke 14 pada 2 – 4 Jun 2011.


2. Larian tersebut diadakan bertujuan memupuk kesedaran orang ramai mengenai kepentingan pendermaan organ bagi membantu pesakit yang memerlukan serta menggalakkan orang ramai mengamalkan cara hidup sihat.


3. Saban tahun, bilangan rakyat Malaysia yang menderita mengalami penyakit kegagalan fungsi buah pinggang semakin meningkat. Pada tahun 2001, seramai 7,837 rakyat negara ini menjalani rawatan dialisis dan jumlah ini telah meningkat kepada 22,932 pada tahun 2010. Peningkatan jumlah pesakit tersebut adalah lebih tiga kali ganda dalam tempoh hanya sepuluh tahun dan peningkatan ini dijangka akan berterusan.


4. Buat masa ini, dianggarkan seramai 12,133 pesakit sedang menunggu untuk mendapatkan organ dan ini termasuk 12,100 pesakit kegagalan buah pinggang, 23 pesakit kegagalan hati dan 10 pesakit jantung dan paru-paru.


5. Jumlah rakyat Malaysia yang telah mendermakan organ dan tisu setelah kematian adalah seramai 322 orang sejak tahun 1975. Kadar pendermaan organ dan tisu di Malaysia (untuk pendermaan setelah meninggal dunia) adalah sekitar 1.4 pendermaan bagi setiap juta populasi.


6. Perbezaan yang ketara di antara keperluan dan pendermaan organ mengakibatkan ramai pesakit terpaksa menunggu untuk mendapatkan organ.

 

7. Sehingga April 2011, seramai 165,438 rakyat Malaysia telah berikrar untuk menderma organ mereka. Jumlah ini mewakili hanya 0.57% daripada jumlah keseluruhan populasi Malaysia. 56% pengikrar adalah berbangsa Cina, 24% kaum India, 17% kaum Melayu dan 3% lain-lain kaum.

 

8. Selaras dengan konsep Satu Malaysia, Kementerian Kesihatan ingin memohon kepada semua rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang, agama, bangsa dan keturunan untuk berikrar mendermakan organ selepas meninggal dunia demi kepentingan pesakit yang memerlukan.

 

9. Kementerian Kesihatan juga ingin menyarankan agar semua rakyat Malaysia mengamalkan cari hidup yang sihat termasuk mengamalkan pemakanan yang seimbang, tidak merokok serta melakukan aktiviti fizikal dengan kerap agar penyakit-penyakit seperti kencing manis dan darah tinggi dapat dicegah. Bagi rakyat Malaysia yang mengidap penyakit tersebut, Kementerian Kesihatan juga menyarankan agar pesakit ini mendapatkan rawatan yang sebaiknya serta mengikut nasihat yang telah diberikan oleh doktor agar kejadian kegagalan fungsi organ dapat dikurangkan di negara ini.

 

10. Kementerian Kesihatan dengan kerjasama pihak-pihak lain yang berkaitan akan menganjurkan Minggu Kesedaran Pendermaan Organ Peringkat Kebangsaan pada 16-24 Oktober 2011 dan ingin menjemput semua rakyat Malaysia untuk turut sama di dalam aktiviti yang akan dianjurkan nanti.

 

11. Orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut mengenai pendermaan organ dari laman sesawang Pusat Sumber Transplan Nasional www.agiftoflife.gov.my atau laman Facebook www.facebook.com/agiftoflife. Orang ramai juga boleh mendaftar sebagai pengikrar penderma organ secara atas talian di laman sesawang tersebut atau hubungi talian bebas tol 1-800-88-9080.>

 

Datuk Rosnah Shirlin binti Haji Abdul Rashid Shirlin

Ditambah pada 05-06-2011 04:00:00

Lampiran-lampiran