Tajuk Kenyataan Akhbar Kedua: Pencemaran Di (2-ETHYLHEXYL) PHTHALATE (DEHP) dan DIISONONYL PHTHALATE (DINP) Dalam Makanan Import Dari Taiwan
Penerangan

JATA.gif

 

KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

 KENYATAAN AKHBAR KEDUA

 

PENCEMARAN di (2-ethylhexyl) phthalate (DEHP) DAN DI-ISONONYL PHTHALATE (DINP) DALAM makanan IMPORT dari TAIWAN  

 

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengambil maklum akan laporan mengenai pencemaran di(2-ethylhexyl) phthalate (DEHP) dan di-isononyl phthalate (DINP) dalam beberapa produk makanan  keluaran Taiwan yang dilaporkan dalam media sejak  25 Mei 2011. Produk-produk makanan terlibat adalah minuman sukan, jus buah-buahan, produk jeli, jam, yogurt dan clouding agent, sejenis bahan aditif makanan. Bahan DEHP dan DINP telah ditambah kepada clouding agent untuk mengurangkan kos pengeluaran produk makanan.

 

Pihak Taiwan Food and Drug Administration (FDA) telah memaklumkan KKM berkenaan beberapa makanan keluaran Taiwan yang telah disahkan tercemar dengan DEHP dan telah dieksport ke Malaysia untuk tindakan selanjutnya seperti berikut:

 

i)  Uni-President Asparagus Juice dengan tarikh luput sebelum 18 Mei 2012 yang dikilangkan oleh syarikat Uni-President Enterprises Corp., Taiwan.

ii)  Sunkist Lemon Juice, Sunkist Lemon Juice Drink with Aloe Vera Pulp, Sunkist Orange Juice dan Sunkist Orange Juice Drink yang dikilangkan oleh syarikat Country House Inc., Taiwan dan dieksport ke Malaysia oleh syarikat Sunlight Foods Corp., Taiwan.

 

Sehubungan dengan itu, KKM telah menghubungi kesemua pengimport produk terbabit di atas untuk melaksanakan tindakan pemanggilan balik produk makanan tersebut yang berada di pasaran tempatan dengan kadar segera. Dalam pada itu, KKM juga akan menjalankan pemantauan di pasaran tempatan dan sekiranya produk terlibat masih dijual, tindakan rampasan akan dijalankan.

 

Di samping itu, semua pengimportan Uni-President Asparagus Juice, Sunkist Lemon Juice, Sunkist Lemon Juice Drink with Aloe Vera Pulp, Sunkist Orange Juice dan Sunkist Orange Juice Drink oleh Syarikat Country House Inc. dari Taiwan dilarang masuk ke negara ini (Pemeriksaan Tahap 6 di bawah FoSIM-Food Safety Information System of Malaysia). Bagi produk makanan lain yang diimport dari Taiwan seperti jus buah-buhan, jeli, jam, yogurt dan minuman sukan, tindakan pemantauan dijalankan di pasaran dan pintu masuk.

 

KKM ingin memaklumkan bahawa produk minuman sukan keluaran syarikat Young Energy Resource Co. Ltd., di Taiwan yang dikesan mengandungi DEHP seperti dilaporkan oleh pihak Centre for Food Safety, Hong Kong pada 25 Mei 2011 iaitu Speed Sports Drink 600ml, Speed Sports Drink (Lemon Flavour) 600ml dan Dong Nung 1000 Sports Drink tidak diimport ke negara ini berdasarkan maklumat dari FoSIM.

 

DEHP dan DINP adalah sejenis bahan kimia yang digunakan dalam pembuatan plastik untuk menjadikannya lebih lembut (flexible). Ianya boleh dipindahkan (migrate) kepada makanan semasa proses pembuatan, pembungkusan dan penyimpanan.

 

DEHP diketahui berkemungkinan boleh menyebabkan kesan karsinogenik ke atas manusia. Namun begitu, masih terdapat kekurangan bukti saintifik berkaitan kesan karsinogenik DEHP kepada manusia.

 

Sekiranya terdapat mana-mana pihak yang terlibat dalam pengimportan, penyimpanan, penyediaan, pengedaran dan penjualan produk-produk yang membahayakan kesihatan, jika bersabit kesalahan di bawah Seksyen 13(1), Akta Makanan 1983 boleh didenda tidak melebihi RM 100,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya.

 

Sehubungan dengan itu, orang ramai tidak perlu khuatir akan keselamatan makanan yang diimport dari Taiwan memandangkan  kawalan  telah dikenakan ke atas makanan terbabit dari negara tersebut. Pengguna yang telah membeli produk makanan berkenaan keluaran Taiwan dinasihati tidak memakan produk tersebut.

 

Sekiranya pengguna perlu maklumat lanjut, hubungi Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan, KKM di talian 03-88833652/ 88833653 atau laman web http://www.moh.gov.my atau http://fsq.moh.gov.my

 

 

YB. DATO’ SRI LIOW TIONG LAI

MENTERI KESIHATAN MALAYSIA

 

1 JUN 2011

Ditambah pada 01-06-2011 04:00:00

Lampiran-lampiran