Penerangan |
PRESS RELEASE
KENYATAAN AKHBAR
Y.B. MENTERI SAINS, TEKNOLOGI DAN INOVASI
MENGENAI KEMALANGAN NUKLEAR AKIBAT KEJADIAN
GEMPABUMI DAN TSUNAMI DI JEPUN
------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
24 Mac 2011, 3 petang
KEADAAN DI JEPUN
- Berdasarkan maklumat terkini, bekalan tenaga elektrik telah berjaya disalurkan ke loji kuasa nuklear unit 1, 2 dan 4 di Stesen Kuasa Nuklear Fukushima Daiichi, membolehkan sebahagian instrumentasi unit-unit ini berfungsi dan membekalkan data yang berguna untuk operasi selanjutnya.
- Pemonitoran alam sekitar bagi kawasan sekitar 20 hingga 30 kilometer dari Fukushima Daiichi menunjukkan bacaan dalam julat 0.1 hingga 6.9 mSv/jam dan kadar ini juga menunjukkan trend yang semakin menurun. Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) mengesahkan sinaran alfa tidak dikesan yang menunjukkan tiada kehadiran uranium dan plutonium. Ini bermakna tidak berlaku sebarang kebocoran bahan api nuklear.
- Dalam masa yang sama, perairan sekitar Fukushima juga dipantau di mana pasukan IAEA yang berkepakaran khusus dalam pemonitoran marin juga akan tiba ke Jepun bagi bersama-sama melakukan pemonitoran.
- Bacaan radioaktif dikesan di dalam susu, sayuran dan air di Fukushima dan arahan sekatan penjualan produk-produk ini telah dikuatkuasakan. Iodin-131 dikesan di dalam air paip pada paras yang melebihi tahap yang dibenarkan untuk bayi, menurut sumber dari IAEA yang dikeluarkan pada 23 Mac, 20 UTC (bersamaan waktu Malaysia jam 4 pagi 24 Mac 2011); tetapi masih pada tahap yang selamat untuk orang dewasa di kawasan tersebut.
- Semasa taklimat IAEA kepada Perwakilan-perwakilan Negara anggotanya termasuk kepada Kedutaan Besar Malaysia di Austria dan Perutusan Tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, Vienna (Malawakil Vienna), corak penyebaran atmosferik berdasarkan model Regional Specialised Meteorological Centre (RMSC) juga dipamerkan. Memandangkan lebih banyak data telah diperolehi, model yang lebih tepat dapat dihasilkan. Kebanyakan kepulan radioaktif tersebar ke arah timur dan tenggara iaitu ke Lautan Pasifik tetapi pada nilai yang amat rendah dan tidak membimbangkan.
- Berdasarkan ramalan oleh pusat-pusat tindak balas kecemasan persekitaran di bawah Pertubuhan Meteorologi Sedunia, bagi tempoh sehingga 26 Mac 2011, pergerakan sebarang bahan cemar radioaktif iodin yang terlepas dari loji nuklear Fukushima untuk tempoh 72 jam dari tarikh 23 Mac 2011 adalah ke arah selatan dan timur laut/timur dan juga tenggara menghala ke Lautan Pasifik. Untuk tempoh tersebut sebarang pencemaran radioaktif iodin jika ada adalah di sekitar negara Jepun dan lautan berdekatannya dan tidak akan sampai ke Malaysia.
TINDAKAN OLEH MOSTI DENGAN KERJASAMA KEMENTERIAN-KEMENTERIAN BERKENAAN:
- MOSTI mempergiatkan lagi usaha memantau secara aktif keadaan kemalangan nuklear di Jepun dan impak kepada negara kita melalui Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (AELB), Agensi Nuklear Malaysia, Jabatan Meteorologi Malaysia dan Malawakil Vienna, Wisma Putra.
- Pemantauan melalui Sistem Pemonitoran Radiologi Alam Sekitar (ERMS) di 6 lokasi seluruh Malaysia (Chuping, Ipoh, Sri Aman, Kuantan, Kudat dan Senai) diteruskan dan masih menunjukkan paras normal di mana data pada 10.00 pagi, 24 Mac 2011 adalah 0.029 hingga 0.172 mikro Sievert per jam. Paras ini masih merupakan bacaan normal untuk Malaysia.
- Berdasarkan maklumat terkini yang diperolehi daripada badan antarabangsa iaitu International Civil Aviation Organisation (ICAO) dan International Air Transport Association (IATA), situasi di Jepun pada ketika ini tidak memberikan kesan kesihatan kepada individu. Walau bagaimanapun, sebagai mengambil langkah berjaga-jaga dan meningkatkan keyakinan orang awam, Malaysia telah melakukan saringan ke atas penumpang-penumpang penerbangan dari Jepun di lapangan terbang antarabangsa utama. Saringan kedua (pemonitoran individu), hanya akan dilakukan jika terdapat bacaan yang melebihi kadar yang dibenarkan (0.5 mikro Sievert per jam).
- Pada masa yang sama, sistem Pemonitoran Portal (Radiation Portal Monitors – RPMs) yang sememangnya telahpun dipasang di KLIA sejak 2009, juga menunjukkan paras normal dan tiada sebarang pencemaran dikesan.
- Namun demikian, mana-mana penumpang yang ingin mendapatkan khidmat pemonitoran cemaran radioaktif lebih lanjut bolehlah memohon kepada pegawai AELB yang sedang bertugas di KLIA dan LCCT.
- Sehingga kini pemantauan telah dilakukan terhadap 40 penerbangan dari Jepun ke Malaysia ke atas penumpang-penumpang dan anak kapal. Tiada kadar dedahan melebihi paras normal dikesan sehingga hari ini.
- Buat masa ini, AELB berpendapat orang awam tidak perlu melakukan pengesanan sinaran untuk mengesan pencemaran kerana situasi di Malaysia masih berada di tahap normal dan terkawal. Walau bagaimanapun, sekiranya orang awam ingin melakukan pemonitoran individu, ia boleh dilakukan secara percuma di Ibu Pejabat AELB, Batu 24, Jalan Dengkil, Selangor Darul Ehsan bermula 20 Mac 2011. Khidmat yang sama boleh juga diperolehi dari Agensi Nuklear Malaysia. Kemudahan perkhidmatan pengesanan sinaran ke atas individu ini bermula dari jam 8.00 pagi hingga 6.00 petang setiap hari.
- Sehingga kini seramai 23 individu telah datang ke AELB dan Agensi Nuklear Malaysia untuk mendapatkan khidmat pemonitoran cemaran. Tiada kadar dedahan melebihi paras normal dikesan sehingga hari ini.
- Dari segi keselamatan makanan, sebagai langkah berjaga-jaga, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenakan Pemeriksaan Tahap 5 iaitu Tahan, Uji dan Lepas di bawah Food Safety Information System of Malaysia (FoSIM) terhadap produk makanan seperti buah-buahan, sayur-sayuran, ikan dan hasilan ikan serta hasilan daging dan sebagainya yang diimport dari Jepun. Sampel makanan diambil di pintu masuk untuk analisis kandungan bahan radioaktif di Agensi Nuklear Malaysia. Sehingga kini, sebanyak 27 sampel telah dianalisis dan didapati kesemuanya mematuhi tahap kandungan bahan radioaktif yang dibenarkan.
- Pengguna tidak perlu khuatir dengan makanan yang dijual di pasaran dan yang diimport. KKM akan sentiasa memantau keselamatan produk makanan dari masa ke semasa termasuk produk makanan yang diimport dari negara Jepun.
- MOSTI menasihatkan sekali lagi kepada semua rakyat Malaysia supaya tidak bimbang dan tidak mempercayai khabar-khabar angin dari sumber yang tidak berasas.
- Bagi sebarang pertanyaan, bolehlah dirujuk kepada Pusat Maklumat Radiologi AELB melalui talian Hotline AELB 1 800 88 7999 atau di 03-8922 5848 atau melalui emel di MNR-Customer@aelb.gov.my
- Maklumat teknikal boleh diperolehi di laman web;
a) Laman Web IAEA (www.iaea.org)
b) Laman Web MOSTI (www.mosti.gov.my)
c) Laman Web AELB (www.aelb.gov.my)
d) Laman Web Nuklear Malaysia (www.nuclearmalaysia.gov.my)
e) Laman Web Kementerian Kesihatan Malaysia (www.moh.gov.my)
f) Laman Web Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (http://fsq.moh.gov.my) |