Print
Tajuk Klinik Kesihatan Lubuk Buntar terlalu perlahan walaupun pesakit tidak terlalu ramai
Akhbar HARIAN METRO
Tarikh Siaran 23-12-2014
Kategori SMS
Dikeluarkan Oleh Dr. Idah Bt. Mohamed
Maklum Balas Pihak kami ingin memohon maaf atas kesulitan dan kepayahan yang dirasai oleh pengadu. Walaubagaimanapun setiap pelanggan seharusnya tahu bahawa piagam pelanggan kita telah menekankan setiap kes akan dirawat berdasarkan keutamaan ; kes kecemasan akan diberi keutamaan dulu. Kes kronik yang diberi temujanji akan dilayan dahulu. Kes biasa akan diberi rawatan berdasarkan angka giliran semasa pendaftaran. Setiap kakitangan kesihatan melakukan yang terbaik bagi memastikan setiap pelanggan berpuas hati walaupun kami kekurangan kakitangan. Pihak kami berharap agar pihak yang membuat aduan boleh tampil dan memberikan perincian berkenaan masa dan tarikh kejadian supaya penerangan dan siasatan menyeluruh dapat dilakukan denga terperinci. Pihak kami telah pun menjalankan siasatan awal terhadap aduan yang telah diberikan. Siasatan ini melibatkan keseluruhan minggu sebelum aduan dilakukan memandangkan aduan tidak menyatakan secara tepat tarikh dan masa kejadian tersebut. Berdasarkan dokumentasi kedatangan pesakit dari 14hb Disember 2014 hingga 23hb Disember di dalam sistem pemantauan E-MASA mendapati waktu menunggu setiap pesakit antara 4-8 minit. Masa konsultasi pula antara 2 hingga 10 minit. Pihak kami ingin menegaskan bahawa waktu konsultasi setiap kes adalah bergantung kepada tahap kesulitan kes tersebut. Kes yang memerlukan rujukan akan mengambil masa yang lebih bagi mendapatkan tarikh temujanji di hospital berpakar. Begitu juga dengan kes ibu mengandung dan kanak-kanak yang memerlukan dokumentasi yang lebih terperinci. Bersama-sama ini saya kepilkan laporan daripada Sistem Pemantauan E-MASA yang telah diulas sebentar tadi. Pihak kami ini sentiasa prihatin dalam menyelesaikan masalah dan aduan yang dihadapi oleh pelanggan kami di premis kesihatan. Sehubungan dengan itu, pihak kami memohon kerjasama beliau untuk hadir ke Klinik Kesihatan Lubuk Buntar bagi menjelaskan isu-isu yang telah beliau kemukakan. Sekian, terima kasih.